Tuesday, November 18, 2008

Kerajaan serius jadikan NS lembah ilmu

Kerajaan negeri serius mahu menjadikan Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu bagi melahirkan modal insan bermutu yang mampu mengisi pelbagai jawatan dan keperluan negara pada masa hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagi mencapai usaha itu kerajaan tidak mengamalkan prinsip 'keterbatasan' tetapi kepada kaedah 'keterbukaan' supaya semua lapisan rakyat mendapat limpahan ilmu.

''Saya mengucapkan syabas kepada Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan di atas kejayaan mengekalkan kedudukan tempat ketiga dalam pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) peringkat kebangsaan.

''Ini memperlihatkan kemajuan drastik telah dicapai melalui pelbagai kaedah pembelajaran dan kecekapan mengajar, sehingga menambah bilangan pelajar yang meraih keputusan cemerlang," kata beliau di sini hari ini.

Jelasnya, beberapa sekolah di negeri ini juga telah dinaik taraf serta diberi peruntukan untuk pembesaran blok dan bilik darjah.

Umpamanya kata beliau, sebanyak RM4.8 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan untuk membesar dan menaiktaraf Sekolah Rendah Siliau di Rantau, begitu juga sebuah sekolah di Nyatoh (Rantau) yang menerima peruntukan sebanyak RM5.6 juta untuk tujuan sama.

''Ketika ini juga Sekolah Menengah Agama Rantau sedang dalam pembinaan dengan kos yang dianggarkan RM7.8 juta. Kesemua ini bertujuan memberikan pendidikan yang sempurna kepada rakyat," kata beliau.

Katanya, beberapa institusi pengajian tinggi juga sedang dibina termasuk di Nilai, Rembau, Seremban, Kuala Pilah dan Port Dickson.

''Kita mahu taraf pendidikan di negeri ini terus subur dan adalah malang jika segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan telah disia-siakan oleh rakyat.

''Ibu bapa perlu menanamkan minat untuk memastikan anak-anak terus menerima pendidikan yang sempurna. Kita perlu selalu melihat perkembangan pendidikan anak-anak kita.

''Sebab itulah asas di peringkat tadika dan pra sekolah itu juga perlu diberi perhatian semua pihak," kata beliau.

Mohamad memberitahu, elemen kejayaan pelajar tidak hanya bergantung pada kemahuan mereka tetapi juga perlu mendapat sokongan guru, sekolah dan ibu bapa selain masyarakat.

''Kalau sekolah itu menghasilkan ramai pelajar cemerlang, tidak kiralah ia terletak di luar bandar sekali pun, saya yakin ramai ibu bapa akan berlumba-lumba untuk menghantar anak mereka bersekolah di situ," tegas beliau.

Sehubungan itu, Mohamad mahu semua pihak bersama-sama memastikan mutu pendidikan di negeri ini terus dipertingkatkan dan mengekalkan prestasi cemerlang.

No comments: