Sunday, November 9, 2008

Alahai Hanafi, Pemuda Rembau dan KJ



KHAIRY Jamaluddin yang menerima pencalonan sebulat suara dari Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Rembau cuba dirosakkan dengan berita kononnya berlaku kekecohan ketika pencalonan dibuat terhadapnya.

Ini ekoran ada usaha mahu mencadangkan supaya pencalonan dibuka semula untuk mencalonkan nama-nama lain, selain Khairy.

Sebenarnya, ia bukan kekecohan tetapi sesuatu yang biasa dalam politik. Mana mungkin, boleh semua orang sehati sejiwa? Tentulah ada yang mahu menduga dan tentulah ada yang mahu mencuba.

Sebenarnya pencalonan dari Pemuda Rembau tidak menjejaskan apa-apa peluang Khairy untuk meneruskan hasratnya bertanding jawatan nombor satu Pergerakan Pemuda Umno. Cuma, dia sebagai ketua Pemuda di bahagian itu, tentulah mengharapkan kawan-kawannya memahami dan merestui hasratnya itu.

Jika ditakdirkan menang, Khairy bukan menang atas namanya seorang tetapi dia juga membawa bersama Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Rembau, yang bersama-samanya bertungkus lumus bekerja siang dan malam, untuk menang pilihan raya dan menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohamad Hassan selaku Menteri Besar Negeri Sembilan.

Khairy yang pernah empat tahun menjadi Exco Pergerakan Pemuda dan empat tahun sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda telah membuktikan dia seorang yang setia kepada ketua. Kesetiaannya itu dibuktikan dengan bertindak paling akhir dari calon-calon lain mengumumkan hasratnya bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

Ini adalah bukti bahawa Khairy tidak mahu melanggar ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin. Malahan, ketika membuat pengumuman mahu menawarkan diri bertanding dengan memperkenalkan slogannya 'setiakawan', Khairy berjanji akan meneruskan usaha-usaha baik yang sudah dibuat oleh Datuk Seri Hishammuddin.

Kalau pendirian Khairy ini boleh ditafsirkan secara tepat, Hanafi Ibrahim seorang AJK Pemuda Rembau yang berhasrat untuk membuat pencalonan lain selain dari Khairy dalam mesyuarat Pemuda Rembau baru-baru ini, pasti tidak berlaku.

Ini kerana, Hanafi tentunya sudah nampak sokongan sebulat suara dihamburkan para perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka Rembau dengan jeritan "KJ, KJ, KJ… pencalonan ditutup, pencalonan ditutup…," untuk apa dia bangun untuk membuat cadangan baru? Apakah niatnya ketika itu?

Sebenarnya, Khairy terus dicemburui. Sokongan yang diterimanya dari Pemuda bahagiannya sendiri pun mahu diganggu gugat. Mereka yang mahu mengganggu gugat itu tahu tidak boleh menang jika mencalonkan nama orang lain tetapi mereka tidak mahu Khairy terlalu selesa di bahagiannya sendiri.

Mereka sedar, Khairy sanggup kehilangan pencalonan 10 bahagian lain tetapi Khairy tetap mahukan pencalonan dari Rembau, yang disifatkan sebagai tidak sempurna dan tidak lengkap jika tidak mendapat pencalonan dari Rembau yang merupakan maruahnya!

No comments: