Monday, November 10, 2008

Kenyataan Tengku Adnan Tidak Adil, Kata Mohamad


SEREMBAN, 10 Nov (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa Badan Perhubungan Umno negeri dan Umno Bahagian Seremban saling tidak mempercayai antara satu sama lain, sebagai tidak adil.

"Saya tidak pernah ada masalah dengan bahagian Seremban. Saya menjalankan tugas selaku Pengerusi Badan Perhubungan negeri dan saya tahu tugas yang perlu dijalankan.

"Jadi, saya anggap ia satu kenyataan peribadi dan beliau (Tengku Adnan) tidak sepatutnya membuat kenyataan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Surat Hak Milik Projek Rumah Awam Kos Rendah (PAKR) Panchor 1, Panchor 2 dan Sikamat 2A di Balai Raya Rumah Rakyat Panchor, dekat sini, Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Tengku Adnan bahawa Ibu Pejabat Umno akan menghantar satu pasukan bagi mengendalikan mesyuarat Umno Bahagian Seremban yang ditangguhkan akibat insiden pergaduhan semalam selepas mendapati Badan Perhubungan Umno Negeri dan Umno bahagian itu saling tidak mempercayai satu sama lain.

Mesyuarat bahagian itu yang berlangsung di Kelab Golf Tuanku Ja'afar, dekat sini terpaksa ditangguhkan selepas berlaku pergaduhan dan kekecohan yang menyaksikan dua perwakilan cedera dipercayai terkena kerusi yang dibaling.

Kekecohan bermula kira-kira pukul 10.30 pagi sebaik Ketua Umno bahagian itu Datuk Ishak Ismail selesai berucap apabila Ketua Umno Cawangan Sikamat, Datuk Md Yusof Harmain Shah bangun memohon penjelasan sama ada mesyuarat itu wajar diteruskan berikutan kekeliruan berhubung status beberapa cawangan.

No comments: